OLIMPIK: MENGUNDANG MURKA ALLAH DI BULAN RAMADHAN


Pencerahan minda dari Hizbut Tahrir Malaysia

Tatkala umat Islam seluruh dunia sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan, tumpuan seluruh dunia kini mengarah ke London, tempat di mana berlangsungnya temasya sukan terbesar dunia, Olimpik. Lebih kurang 3000 atlet yang beragama Islam daripada seluruh dunia sedang mengambil bahagian dalam temasya ini, manakala ratusan wartawan dan pegawai yang juga beragama Islam turut terlibat sama ada dalam membuat liputan mahupun dalam mengurus atlet-atlet yang bertanding. Itulah keadaan di London. Di Malaysia pun apa kurangnya? Liputan secara langsung melalui televisyen dilakukan sejak awal pagi. Media cetak dan elektronik arus perdana tidak henti-henti membuat liputan, khususnya laporan terkini pencapaian atlet negara dan tak kurang berita yang memaparkan gelagat atlet dan juga para pegawai yang berada di sana. Sebahagian kaum Muslimin juga turut menjadi ‘juruhebah’ membincangkan persembahan atlet acara kegemaran masing-masing seolah-olah mereka adalah pakar analisis sukan antarabangsa. Sukan Olimpik ini nampaknya telah berjaya mengalihkan fokus sebahagian daripada umat Islam sehingga bulan Ramadhan tahun ini telah disibukkan oleh perbincangan yang tidak berfaedah.

Ini dari satu aspek. Dari aspek yang lain, tok-tok mufti dan jabatan agama tidak terkecuali membincangkan hal ini dari aspek hukum berpuasa ketika bersukan. Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya bersetuju dengan pandangan Mufti Perak Tan Sri Harussani dan bekas mufti Perlis Prof Datuk Dr Mohd AsriZainul Abidin supaya atlet Muslim yang mewakili Malaysia di temasya sukan Olimpik, menangguhkan ibadah puasa. Juanda mengulas pandangan Harussani dan Asri yang dilaporkan berkata, atlet Muslim boleh menangguhkan puasa bagi mengelakkan daripada dituduh tidak beri kerjasama, diboikot atau boleh menjejaskan peluang kemenangan [http://www.malaysiakini.com/news/204430]. Manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyediakan garis panduan berpuasa bagi atlet Malaysia beragama Islam. Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, “Secara dasarnya, garis panduan tersebut menjelaskan bahawa meneruskan puasa ketika bermusafir adalah lebih baik. Bagaimanapun, orang yang bermusafir diberi keringanan untuk tidak berpuasa walaupun tidak letih...Antara sebab yang membolehkan untuk atlet tidak berpuasa ialah bermusafir, masalah kesihatan dan sukan berprestasi tinggi,” katanya [http://www.sinarharian.com.my/olimpik-2012/olimpik-jakim-sedia-panduan-untuk-atlet-muslim-1.69804].

Jika di London, umat Islam berjaya disibukkan oleh puak kuffar dengan sukan, di tanah air sendiri pun tidak kurang sibuknya umat Islam dengan sukan. Di Malaysia, umat Islam disogokkan dengan perlawanan bola sepak persahabatan di antara Harimau Malaya dengan Arsenal dan juga Manchester City, di mana sebelum itu, umat Islam turut dihidangkan dengan perlawanan persahabatan antara pasukan QPR dengan pasukan Kelantan, yang kesemuanya berlangsung pada malam bulan Ramadhan. Pendek kata, baik di peringkat antarabangsa mahupun tempatan, dalam bulan Ramadhan kali ini, umat Islam telah disajikan dengan sukan sebagai ‘santapan’ berbuka.

Olimpik Lahir Dari Hadharah Kufur

Sejarah mencatatkan bahawa tamadun yang mula-mula menganjurkan sukan Olimpik adalah Yunani purba (sekarang Greece). Temasya pertama Olimpik dilangsungkan pada tahun 776 SM dan pada masa itu hanya satu acara sahaja dipertandingkan. Tujuan utama orang-orang Yunani menganjurkan temasya ini pada asalnya adalah untuk memberi penghormatan kepada Dewa Zeus. Menurut kepercayaan Yunani purba, Dewa Zeus adalah Tuhan kepada sekalian tuhan dan manusia. Disebabkan itulah pada upacara pembukaan temasya, patung Dewa Zeus akan diarak ke gelanggang agar Zeus dapat melindungi dan menyelia temasya sepanjang ia berlangsung. Zeus dianggap menjadi ketua kepada temasya tersebut. Dalam keadaan berbogel, para atlet akan berlari sambil bersaing di antara satu sama lain untuk mencapai tempat pertama. Badan mereka akan dilumurkan dengan minyak zaitun bagi menampakkan kegagahan susuk tubuh mereka. Di samping hadiah, ganjaran lain yang dijanjikan adalah  penghormatan dalam masyarakat. Bagi yang mendapat kemenangan, patung yang menyerupai mereka akan dipahat untuk dikenang oleh orang ramai. Demi untuk memberikan penghormatan kepada Dewa Zeus, setiap negara kota menghantar wakil untuk bertanding dan sukan ini mula mencapai zaman kemuncaknya pada abad ke-6 dan ke-5 sebelum Masihi.

Obor yang dinyalakan sepanjang temasya pula adalah untuk memperingati api yang dicuri oleh Prometheus, seorang hero menurut kepercayaan Yunani yang berjaya mencuri api daripada Zeus bagi kegunaan manusia untuk mencapai kemajuan dan tamadun. Banyak lagi khurafat lainnya berkaitan obor Olimpik yang dianggap suci dalam sukan Olimpik. Semasa Yunani diperintah oleh Rom, sukan Olimpik telah diharamkan oleh Maharaja Theodosius I kerana dia telah memutuskan bahawa temasya Olimpik adalah bertentangan  dengan ajaran Kristian kerana ia melibatkan temasya orang-orang menyembah berhala. Sejak itu, ia tidak lagi diadakan di Yunani sepanjang ribuan tahun sehinggalah pada tahun 1896, ia telah dihidupkan semula oleh seorang warga Perancis, Pierre de Courbertin. Temasya tersebut semakin mendapat sambutan dan pada tahun 1920, logo Sukan Olimpik yang berupa 5 gelang telah diperkenalkan buat pertama kalinya. Begitulah serba ringkas sejarah sukan Olimpik yang mengandungi unsur hadharah kufur dan penuh dengan pelbagai khurafat, di mana kini banyak negara dan umat Islam bukan sahaja terlibat di dalamnya, malah begitu berbangga dengannya.

Beza Ramadhan Dulu Dan Kini

Sejak zaman Rasulullah SAW hinggalah ke zaman keKhilafahan, tinta emas sejarah Islam mencatatkan pelbagai peristiwa yang penuh dengan kemuliaan dan kegemilangan yang dicapai oleh umat Islam di sepanjang bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan turunnya Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia. Firman Allah SWT,

“Bulan Ramadhan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran (sebagai) petunjuk untuk sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dengan yang salah)” [TMQ al-Baqarah (2):185].

Pada bulan Ramadhanlah para sahabat berjihad di jalan Allah menentang musuh-musuh Allah di dalam peperangan Badar al-kubra pada tahun 2 Hijrah. Manakala pada 20 Ramadhan tahun 8 Hijrah terjadi peristiwa  fathulMakkah (pembukaan kota Mekah) dan penghancuran berhala di tanah suci itu. Mekah yang sebelumnya dikuasai kafir Quraisy dan menjadi tempat kaum Muslimin diseksa dan dibunuh, telah berjaya ditawan kaum Muslimin tanpa pertumpahan darah pada bulan yang mulia dan penuh keberkatan.

Pada Ramadhan 10 Hijrah Rasulullah SAW mengutus sepasukan tentera di bawah pimpinan Sayidina Ali ra ke Yemen dengan membawa surat baginda. Satu suku kaum yang berpengaruh di Yemen terus masuk ke dalam agama yang benar ini pada hari itu juga dan mereka bersolat berjamaah bersama Sayidina Ali ra pada hari yang sama. Pada tanggal Ramadhan 584 Hijrah, Panglima Islam yang terkenal, Salahuddin al-Ayubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib di mana tentera Islam telah berjaya menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib. Ketika bulan Ramadhan, para penasihat Salahuddin menyarankan agar dia berehat kerana risau ajalnya akan tiba tetapi Salahuddin menjawab, “Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam”. Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat.

Pada Ramadhan 658 Hijrah, semasa kemasukan tentera tartar ke Baghdad, yang merupakan pusat pemerintahan Islam pada masa tersebut, tentera Tartar telah membunuh 1.8 juta kaum Muslimin. Selain itu, mereka mengarahkan penduduk Kristian supaya memakan babi dan meminum arak secara terbuka di jalanan dan memaksa kaum Muslimin untuk turut serta. Azan turut dilarang daripada dilaungkan dan masjid-masjid disirami dengan arak oleh tentera-tentera Tartar yang biadab ini. Kecelakaan ini disambut oleh SaifudinQutuz, pemerintah Mesir ketika itu dengan mengumpulkan semula kekuatan kaum Muslimin untuk menghancurkan tentera Tartar dan bertembung dengan mereka pada Jumaat 25 Ramadhan 658H di Ain Jalut. Peperangan ini turut disertai oleh isteri Sultan SaifudinQutuz, Jullanar, yang akhirnya syahid di medan pertempuran. Semasa beliau nazak, SaifudinQutuz memapahnya sambil berkata “Wahai kekasihku…”. Ini dibalas oleh Jullanah dengan mengatakan, “Janganlah kamu berkata demikian, kasihlah lagi kamu terhadap Islam”. Setelah itu, tentera- tentera ini terus berjihad, dan kemenangan diraih oleh pasukan Islam di Ain Jalut.

Apa yang dilakukan oleh kaum Muslimin terdahulu ternyata amat berbeza dengan apa yang dilakukan oleh kaum Muslimin sekarang! Jika dahulu, bulan Ramadhan menjadi bulan ruhiyah (spiritual) dan bulan siyasiyah (politik) serta bulan jihad bagi kaum Muslimin, malangnya Ramadhan kini menjadi bulan untuk bersukan yang dipenuhi kemaksiatan kepada Allah. Apa tidaknya, permainan bola sepak dengan lelaki berseluar pendek dan stadium yang bercampur (ikhtilath) di antara lelaki dan perempuan, ini semua adalah kemaksiatan kepada Allah. Apatah lagi sukan Olimpik! Dengan suasana ikhtilath yang terang lagi bersuluh, dengan atlet-atlet yang tidak menutup aurat, malah berapa ramai daripada mereka yang berpakaian separuh bogel, kesemua ini adalah maksiat yang nyata kepada Allah SWT.

Manakala dari aspek lain, Olimpik adalah temasya yang diselimuti oleh semangat assabiyyah (perkauman) dan wathaniyyah (patriotisme) yang diharamkan oleh Islam. Setiap atlet berjuang untuk meraih pingat untuk kebanggaan diri sendiri dan kebanggaan negara yang mereka wakili. Di sinilah tempat di mana umat Islam tidak lagi merasakan mereka adalah umat yang satu, yang mempunyai akidah yang sama, ibadat yang sama dan Ramadhan yang sama. Apa yang mereka rasa adalah, mereka adalah orang Malaysia, orang Indonesia, orang Pakistan, orang Lebanon, orang Irak, orang Arab Saudi dan sebagainya yang mesti berjuang bemati-matian demi menjulang nama negara masing-masing. Peninju yang bernama Ahmad dari Maghribi berlawan dengan peninju yang bernama Muhammad dari Mesir, semata-mata untuk mengejar emas demi membuatkan negara masing-masing bangga dengan kemenangan yang dicapai! Pendek kata, kesemua perlawanan adalah berdasarkan wathaniyyah!

Inilah hakikat para atlet, pegawai dan peminat sukan yang sedang berjuang di London sekarang! Mereka sudah tidak menghiraukan umat Islam yang sedang dibunuh di Syria, yang sedang disembelih di Burma (Rohingya), yang sedang kelaparan di Afrika, yang sedang dibantai oleh penguasa mereka sendiri di Kashmir, di Uzbekistan, Pakistan, Russia, China dan banyak lagi. Apa yang penting bagi para atlet, pegawai dan peminat sukan Olimpik tajaan kuffar ini adalah kemenangan demi “membanggakan” negara masing-masing!!! Tatkala umat Islam terdahulu disibukkan dengan jihad di jalan Allah di bulan yang penuh keberkatan ini, mereka kini disibukkan dengan sukan Olimpik; tatkala umat Islam lain berusaha mengejar pahala yang berlipat ganda yang disediakan oleh Allah SWT, mereka pula berusaha mengejar pingat yang disediakan oleh golongan kuffar; tatkala umat Islam lain berpuasa demi menggapai kemenangan di akhirat, mereka tidak berpuasa demi menggapai kemenangan di dunia; tatkala umat Islam lain beribadat demi mendapatkan keredhaan dari Allah SWT, mereka bersukan demi mendapat nama dan keredhaan dari negara masing-masing! Inilah hakikat dan padah dari kewujudan negara-bangsa (nation-state) ciptaan penjajah pada hari ini di mana hukum jihad di jalan Allah sudah “dihapuskan” oleh para pemerintah dan umat Islam terus terpecah-belah serta disibukkan dengan “jihad” sukan untuk negara!

Puasa, Sukan Dan Safar

Islam memang membenarkan seseorang untuk tidak berpuasa di bulan Ramadhan sekiranya mereka berada dalam keadaan safar (perjalanan). Allah SWT berfirman,

“…maka sesiapa di antara kamu sakit atau dalam perjalanan (lalu tidak berpuasa), maka (hendaklah) menggantinya pada hari-hari lain (bukan pada bulan Ramadhan)” [TMQ al-Baqarah (2):184].

Selain ayat Quran, terdapat banyak hadis yang menjelaskan tentang kebolehan seseorang berbuka dalam keadaan safar. Hal ini (berbuka) merupakan rukhsah (keringanan) yang Allah berikan kepada orang yang sedang safar. sebagaimana rukhsah lainnya seperti boleh mengqasar solat dan tidak solat Jumaat sewaktu safar. Namun, perlu diperhatikan di sini bahawa melakukan safar untuk tujuan maksiat atau melakukan maksiat ketika safar adalah haram, kerana maksiat itu hukumnya sentiasa haram baik semasa safar atau tidak.

Adapun kaitan maksiat dengan rukhsah-rukhsah bagi musafir (seperti qasar solat, bolehnya berbuka dan lain-lain), maka terdapat perbezaan pendapat di kalangan imam-imam mujtahidin dalam hal ini. Imam Ahmad berpendapat bahawa safar yang membolehkan rukhsah adalah safar untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah seperti haji, umrah, dakwah dan jihad. Imam Malik dan Syafie mengatakan bahawa safar yang membolehkan rukhsah adalah termasuk safar untuk tujuan yang mubah (harus), bukan safar untuk tujuan maksiat. Sementara Imam Abu Hanifah, Ats-Tsauri, dan Abu Tsaur berpendapat safar yang membolehkan rukhsah adalah semua bentuk safar. Sekiranya diperhalusi, pendapat Imam Malik dan Imam Syafie lebih mendekati kebenaran. Ini kerana, terdapat kaedah fiqh yang menyatakan

“ar-rukhsah laatunaathu bi al-ma’asi” (keringanan itu tidak dapat dikaitkan dengan kemaksiatan).

Oleh yang demikian, jika seseorang melakukan safar untuk suatu tujuan maksiat, seperti safar untuk merompak, untuk berniaga dadah atau arak, untuk berzina, untuk membunuh dan sebagainya, maka dia tidak boleh mengqasar solatnya atau berbuka puasanya. Pendek kata, hukum rukhsah tidak terpakai kepadanya ketika dia bersafar untuk memaksiati Allah.

Bagi yang berpegang kepada hukum syarak, maka kita mengetahui bahawa hukum bersukan itu tidak wajib, malah boleh jadi haram apabila terdapat ikhtilath dan pembukaan aurat di dalamnya. Juga, boleh jadi haram apabila bersukan atas dasar assabiyyah dan wathaniyyah. Manakala hukum berpuasa pula adalah wajib. Semasa Ramadhan, dalam keadaan bersukan yang mengandungi unsur maksiat, maka wajib bagi seseorang itu untuk berpuasa dan meninggalkan aktiviti sukan. Jika dapat dijauhkan segala unsur haram sekalipun di dalam bersukan, ia hanyalah menjadikan hukum sukan itu sebagai mubah (harus) dan bukannya wajib, sedangkan hukum berpuasa itu tetap wajib. Maka yang wajib mesti didahulukan (dilakukan) berbanding yang mubah. Maksudnya, sekiranya seseorang itu berbuka kerana ingin bersukan (melakukan yang mubah dengan meninggalkan yang wajib), maka ia telah jatuh ke dalam keharaman. Ini bagi mereka yang tidak dalam keadaan safar.

Bagi mereka yang bersafar kerana ingin bersukan, maka hal ini perlu diperhatikan. Sekiranya terdapat unsur maksiat dalam sukan tersebut, maka berdasarkan kaedah syarak di atas, tidak ada rukhsah baginya. Maksudnya dia tidak dibenarkan berbuka atau mengqasar solatnya. Berdasarkan kaedah fiqh

“al-wasilah ila al-haram, haram” (jalan yang mengakibatkan keharaman adalah haram),

maka safarnya itu sendiri adalah haram dan dia tidak dibolehkan mengambil rukhsah apabila safarnya haram. Sekiranya tidak terdapat unsur maksiat di dalam tujuan safarnya (safarnya bersifat mubah), maka ia boleh berbuka atau mengqasar solatnya sekiranya dia ingin mengambil rukhsah. Dia juga boleh untuk berpuasa atau tidak mengqasar solatnya sekiranya dia mahu mengambil azimah. Mengambil rukhsah atau azimah dalam hal ini dibenarkan, selama mana ia mengerjakan yang lebih mudah baginya di antara dua pilihan tersebut.

Apa yang jelas, temasya sukan Olimpik adalah dilingkari dengan pelbagai unsur keharaman. ‘Sukan’ itu sendiri sesungguhnya tidak lepas daripada agenda kuffar untuk memerangkap umat Islam agar terus hanyut di dalam keseronokan dunia dan melupakan kewajipan kepada Allah SWT. Nampaknya bulan Ramadhan tahun ini telah dicemari dengan perbuatan segelintir umat Islam dari seluruh dunia yang terlibat dengan pesta maksiat di London yang mana semua ini hanyalah mengundang murka Allah di bulan yang mulia ini. Nastaghfirullah al-Adzim.

OLIMPIK: MENGUNDANG MURKA ALLAH DI BULAN RAMADHAN

{ 9 comments.. read them below or add one }

azman azman 3 August 2012 at 16:24
Seperti sudah dirancang sukan olimpik dibuat dalam bulan ramadhan.
skulluv skulluv 3 August 2012 at 17:59
bukan ke setiap olimpik dijalankan pada time-time gini ke?
smp3lembang smp3lembang 3 August 2012 at 21:26
Ya Allah ampunkanlah kelalaian kami memang demikianlah adanya kita dilalaikan dari amalan Sunnah turunlah kadar ibadah dan amal kita di bulan Ramadhan ini
Fakhruddin Fakhruddin 4 August 2012 at 00:27
aku rasa la.
ni macam trick orang kafir.
kenapa tiba jer ramadhan..macam2 event diorang buat...
x rasa pelik ke?
JebengOtai™ JebengOtai™ 4 August 2012 at 15:33
mungkin juga..ttp kan bulan2 islam akan berganjak berbanding tahun masihi..

ttp renungan ini berguna sbb kita terlalu mengikut budaya mereka..
titan titan 5 August 2012 at 00:52
memang itu salah satu tujuan mereka.
irsah irsah 7 August 2012 at 04:40
Macam2 cara orang kafir nak memesongkan umat islam. dari sosial sampai la ke sukan... memang tak buleh lari.. arap2 iman kita masih teguh mengharunginya..
dennis dennis 10 August 2012 at 21:51
islam banyak musuh n org islam sndri yg buat acuh xacuh
AnonymousAnonymous 22 April 2016 at 23:33
Sukan bagus.harap kita maju jugak..