HUKUM HAK CIPTA MENURUT ISLAM


Pencerahan minda dari Hizbut Tahrir Malaysia

Perlindungan hakcipta adalah idea dan undang-undang yang berasal dari ideologi kapitalisme Barat. Negara-negara kapitalis telah mengadakan persidangan Paris pada tahun 1883 dan persidangan Bern pada tahun 1886, mengenai perlindungan hakcipta. Selain kesepakatan-kesepakatan tersebut, mereka juga telah membuat beberapa kesepakatan lain yang jumlahnya tidak kurang dari 20 kesepakatan. Kemudian terbentuklah sebuah badan antarabangsa untuk hakcipta yang diberi nama WIPO (World Intellectual Property Organization), yang bertugas mengawal dan menjaga kesepakatan tersebut. Pada tahun 1995 WTO (World Trade Organisation) telah mengesahkan adanya perlindungan hakcipta dan WIPO menjadi salah satu bahagiannya. WTO mensyaratkan bagi negara-negara yang ingin bergabung dengannya, mesti terikat dengan perlindungan hakcipta dan mesti membuat undang-undang yang berkaitan dengan hakcipta bagi mengatur perlindungan hakcipta.

Undang-undang Hak Cipta yang dilegalisasi oleh negara-negara tersebut dimesti memberikan hak kepada individu untuk melindungi hasil ciptaannya serta melarang orang lain untuk memanfaatkan ciptaan tersebut kecuali dengan izinnya. Negara harus menjaga hak tersebut dan mengenakan hukuman bagi setiap orang yang melanggarnya dengan hukuman penjara sehingga puluhan tahun, baik ketika penciptanya masih hidup atau telah mati. Undang-undang yang dilegalisasi juga mesti mencakup undang-undang perlindungan bagi perusahaan-perusahaan pemegang hak paten. Maksud dari karya cipta adalah ‘pemikiran atau pengetahuan yang diciptakan oleh seseorang dan belum ditemui oleh orang lain sebelumnya’. Bahagian terpenting dari karya-karya cipta tersebut adalah pengetahuan yang boleh dimanfaatkan dalam perindustrian serta produksi barang dan jasa (usaha) dan apa yang sekarang ini disebut sebagai ‘teknologi’.

Berdasarkan hal di atas, orang-orang kapitalis Barat menganggap pengetahuan individu sebagai ‘harta’ yang boleh dimiliki dan bagi orang yang diajar atau mendapat pengetahuan tersebut tidak dibolehkan memanfaatkannya, kecuali atas izin pemilik dan ahli warisnya, sesuai dengan standard-standard tertentu. Contohnya, jika seseorang membeli buku atau disket yang mengandungi pemikiran baru, maka ia berhak memanfaatkan sebatas apa yang dibelinya sahaja, seperti membaca atau mendengarnya. Dia dilarang, berdasarkan Undang-undang Perlindungan Hak Cipta, untuk memanfaatkannya dalam perkara-perkara lain seperti mencetak dan menyalin untuk dijualbelikan atau disewakan.

Hukum Syarak Tentang Hak Cipta

Islam telah mengatur kepemilikan individu dengan suatu pandangan bahawa kepemilikan tersebut merupakan salah satu manifestasi dari naluri mempertahankan diri (gharizah al-baqa’). Atas dasar itu, Islam mensyariatkan ke atas kaum Muslimin ‘hukum kepemilikan’ untuk memenuhi naluri ini, yang akan menjamin kehidupan yang lebih baik. Islam membolehkan bagi seorang Muslim untuk memiliki harta sebanyak-banyaknya seperti binatang ternak, tempat tinggal dan hasil bumi. Di sisi lain, Islam mengharamkan seseorang Muslim dari memanfaatkan barangan seperti khamr (arak), daging babi dan dadah. Islam telah mendorong seseorang Muslim untuk berfikir dan menuntut ilmu, begitu juga Islam membolehkan seseorang Muslim untuk mengambil upah kerana mengajar orang lain. Islam juga telah mensyariatkan bagi seseorang Muslim sebab-sebab yang dibolehkan untuk memiliki suatu barang (asbab at-tamalluk) seperti jual-beli, perdagangan dan pewarisan serta Islam mengharamkan seseorang Muslim sebab-sebab kepemilikan yang lain (yang bertentangan dengan Islam) seperti riba dan judi.

Secara amnya kepemilikan dalam Islam bermaksud izin Asy-Syari’ (Allah SWT) ke atas manusia untuk memanfaatkan barangan. Kepemilikan individu adalah hukum syarak yang mengatur barang atau jasa yang disandarkan kepada individu yang memungkinkannya untuk memanfaatkan barangan dan mengambil bayaran darinya. Kepemilikan individu dalam Islam ditentukan atas dasar ketetapan hukum syarak bagi kepemilikan tersebut dan ketentuan syarak bagi sebab kepemilikan (asbab at-tamalluk) tersebut. Kerana itu, hak untuk memiliki sesuatu tidak muncul dari sesuatu itu sendiri atau manfaatnya, akan tetapi ia muncul dari izin Asy-Syari’ untuk memilikinya dengan salah satu sebab kepemilikan yang syar’ie seperti jual-beli atau hadiah. Islam telah memberikan kekuasaan kepada individu atas apa yang dimilikinya yang membolehkan dia memanfaatkannya sesuai dengan hukum syarak. Islam juga telah mewajibkan Negara agar memberikan perlindungan atas kepemilikan individu dan menjatuhkan hukuman bagi setiap orang yang melanggar kepemilikan orang lain.

Mengenai kepemilikan atas ‘pemikiran baru’, ia melibatkan dua bentuk dari kepemilikan individu. Pertama, sesuatu yang boleh diindera dan dirasa seperti cap dagangan (trademark). Kedua, sesuatu yang boleh diindera tetapi tidak boleh dirasa seperti pandangan ilmiah dan pemikiran yang tersimpan di dalam otak seseorang pakar. Sekiranya kepemilikan tersebut berupa kepemilikan jenis pertama, seperti cap dagangan yang mubah (harus) sifatnya, maka seseorang individu boleh memilikinya serta memanfaatkannya dengan cara mengusahakannya atau memperjual-belikannya. Negara wajib menjaga hak individu tersebut, sehingga memungkinkan baginya untuk mengelola dan mencegah orang lain dari melanggar hak-haknya. Ini adalah kerana di dalam Islam, cap dagangan memiliki nilai material, kerana keberadaannya sebagai salah satu bentuk perniagaan yang diperbolehkan secara syar’ie. Cap dagangan adalah ‘label produk’ yang dibuat oleh pedagang atau ahli industri bagi produk-produknya untuk membezakannya dengan produk yang lain, yang dapat membantu para pembeli dan pengguna untuk mengenal produknya. Perlu difahami bahawa definisi di atas tidak mencakup cap-cap dagangan yang sudah tidak digunakan lagi. Selain itu, seseorang boleh menjual cap dagangannya di mana apabila ia telah menjualnya kepada orang lain, manfaat dan pengelolaan cap dagangan itu akan berpindah kepada pemilik baru.

Adapun mengenai kepemilikan fikriyyah, iaitu jenis kepemilikan yang kedua, seperti pandangan ilmiah atau pemikiran canggih yang dimiliki seseorang, yang belum ditulis ke atas kertas atau belum dirakam ke dalam disket atau ingatan komputer maka semua itu adalah milik individu (milkiyyah al-fardiyyah) bagi pemiliknya. Ia boleh mengajar atau menjualkannya kepada orang lain, jika hasil pemikirannya tersebut memiliki nilai menurut pandangan Islam. Bila hal ini dilakukan (pemikiran yang telah diajar atau dijual), maka orang yang mendapatkannya dengan sebab-sebab yang syar’ie, boleh mengelolanya tanpa terikat dengan pemilik pertama, sesuai dengan hukum-hukum Islam.

Hukum ini juga berlaku bagi semua orang yang membeli buku, disket, atau ingatan komputer yang mengandungi material pemikiran, baik pemikiran sains ataupun sastera. Demikian pula, ia berhak untuk membaca dan memanfaatkan informasi yang ada di dalamnya. Ia juga berhak mengelolanya, baik dengan cara menyalin, menjual atau menghadiahkannya. Akan tetapi ia tidak boleh ‘menasabkan’ (mengatasnamakan) penemuan tersebut kepada selain pemiliknya. Ini adalah kerana pengatasnamaan (penisbahan) kepada selain pemiliknya adalah suatu kedustaan dan penipuan dan diharamkan secara syar’ie. Oleh kerana itu, hak perlindungan atas kepemilikan fikriyyah merupakan hak yang bersifat ‘maknawi’, yang mana hak pengatasnamaannya dimiliki oleh pemiliknya. Namun, orang lain boleh memanfaatkannya tanpa izin dari pemiliknya. Di sinilah bezanya Islam dan kapitalisme di mana orang-orang yang berideolgi kapitalis memfokuskan seluruh aktiviti dan undang-undang mereka untuk meraih qimah madiah (nilai material) semata-mata. Qimah madiah itu pula digunakan sebagai tolok ukur ideologi mereka dalam kehidupan. Mereka mengabaikan qimah ruhiyyah (nilai rohani), qimah insaniyyah (nilai kemanusiaan) dan qimah akhlaqiyyah (nilai akhlak) yang difitrahkan dalam diri manusia dalam usaha manusia untuk meraih qimah madiah.

Mengenai ‘syarat-syarat’ yang ditetapkan oleh undang-undang sivil yang membolehkan pengarang buku atau pencipta program atau para penemu untuk mengenakannya atas nama ‘perlindungan hakcipta’ seperti hak cetak dan hak paten, semua ini merupakan syarat-syarat yang tidak syar’ie dan seseorang Muslim tidak wajib terikat dengan syarat-syarat tersebut. Ini kerana, berdasarkan akad jual-beli dalam Islam, seseorang pembeli bukan sahaja mendapat haq al-milkiyyah/ownership (hak kepemilikan) ke atas barang yang dibeli, malah pembeli juga mendapat haq at-tasarruf (hak untuk mengelola) apa sahaja yang ia miliki (yang ia telah beli). Justeru, meletakkan apa jua ‘syarat’ yang bertentangan dengan akad yang syar’ie, hukumnya adalah haram, meskipun dengan seratus syarat dan dibuat atas kerealaan pembeli. Dari ‘Aisyah ra,

“Barirah mendatangi seorang perempuan iaitu seorang mukatab (hamba) yang akan dibebaskan oleh tuannya jika membayar 9 awaq (1 awaq = 12 dirham). Kemudian Barirah berkata kepadanya, ‘Jika tuanmu bersedia, aku akan membayarkan jumlahnya, maka kesetiaan(mu) akan menjadi milikku. Mukatab tersebut lalu mendatangi tuannya dan menceritakan hal itu kepadanya. Kemudian tuannya menolak dan mensyaratkan agar kesetiaan (hamba tersebut) tetap menjadi miliknya. Hal itu kemudian diceritakan ‘Aisyah kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda, ‘Lakukanlah.’ Kemudian Barirah melaksanakan perintah tersebut dan Rasulullah SAW berdiri, lalu berkhutbah di hadapan manusia. Baginda segera memuji Allah dan menyanjung namaNya, kemudian bersabda, ‘Tidak akan dipedulikan seseorang yang mensyaratkan suatu syarat yang tidak sesuai dengan apa yang tercantum dalam Kitabullah.’ Kemudian baginda meneruskan, ‘Setiap syarat yang tidak ada dalam Kitabullah, maka syarat tersebut adalah bathil. Kitabullah lebih berhak, dan syaratnya (yang tercantum dalam Kitabullah) bersifat mengikat. Kesetiaan dimiliki oleh orang yang membebaskan.”

Mantuq (teks) hadis ini menunjukkan bahawa syarat yang bertentangan dengan apa yang tercantum dalam Kitabullah dan Sunnah RasulNya, tidak boleh diikuti. Oleh yang demikian, selama mana syarat ‘perlindungan hakcipta’ yang menjadikan barang yang dijual (disyaratkan) sebatas untuk satu jenis pemanfaatan tertentu sahaja, tidak untuk pemanfaatan yang lain seluruhnya, maka syarat tersebut adalah batal dan bertentangan dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Ini adalah kerana, syarat ‘perlindungan hakcipta’ adalah jelas bertentangan dengan ketetapan akad jual-beli yang syar’ie. Akad jual beli yang syar’ie membolehkan pembeli untuk mengelola dan memanfaatkan barang yang dibelinya dengan cara apapun yang bertepatan dengan syarak, seperti menjualnya, menghadiahkannya dan lain-lain. Syarat yang mengharamkan sesuatu yang halal adalah syarat yang batil, berdasarkan sabda Rasulullah SAW,

“Kaum Muslimin terikat atas syarat-syarat mereka, kecuali syarat yang mengharamkan sesuatu yang halal dan menghalalkan yang haram.”

Oleh kerana itu, secara syar’ie tidak dibolehkan ada syarat-syarat hak cetak, menyalin atau melindungi sesuatu penemuan. Setiap individu berhak atas hal itu (memanfaatkan produk-produk intelektual). Para pemikir, ilmuwan atau penemu sesuatu program, berhak memiliki pengetahuannya selama pengetahuan tersebut adalah miliknya dan tidak diajarkan kepada orang lain. Adapun setelah mereka memberikan ilmu kepada orang lain dengan mengajarkannya, menjualnya atau dengan apa cara sekalipun (yang syar’ie), maka ilmunya tidak lagi menjadi miliknya. Dalam hal ini, hak kepemilikannya telah hilang dengan diajar atau dijualnya ilmu tersebut, sehingga mereka tidak mempunyai hak untuk menghalang atau melarang orang lain dari memanfaatkannya. Justeru, ‘kata-kata’ (syarat) yang tercantum pada buku-buku, cakera padat, perisian komputer dan media yang lain yang tidak membenarkan dicetak ulang, disalin atau dirakam kecuali atas izin pemiliknya, adalah dilarang di dalam Islam. Kesalahan ‘kata-kata’ (syarat) yang melindungi hakcipta tersebut adalah kerana mereka tidak meletakkan pengecualian sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW bahawa, “…kecuali syarat yang mengharamkan sesuatu yang halal…”.

Ada di kalangan mereka yang membolehkan perkara ini (hakcipta) bersitidlal (menyandarkan dalil) kepada sabda Rasulullah SAW,

“Tidak halal harta seorang Muslim kecuali dengan kerelaan dirinya”

dan kepada sabda baginda,

“Barangsiapa mendapatkan paling awal sesuatu yang mubah, maka ia adalah orang yang paling berhak”.

Hakikatnya, kedua-dua hadis ini tidak merujuk kepada kebolehan hakcipta, kerana manath (fakta)nya memang tidak demikian. Adapun hadis yang pertama, ia bermaksud harta milik orang lain yang tidak boleh diambil dari pemiliknya setelah ia sah secara syar’ie menjadi miliknya. Misalnya, seseorang itu tidak boleh mencuri atau merampas atau memaksa dengan apa cara (termasuk melalui undang-undang) untuk mengambil harta seseorang. Manakala ilmu yang telah diajar atau dijual tidak lagi menjadi milik tuannya dan tidak timbul soal mengambil ‘tanpa kerelaan’ dari pemiliknya. Adapun hadis yang kedua, manathnya adalah berkenaan harta milik umum (bukan milik individu) yang menjadi hak orang ramai untuk memanfaatkannya, sebagaimana hadis,

“Mina (salah satu tempat dalam mengerjakan haji) menjadi hak bagi siapa sahaja yang datang lebih dahulu (untuk menempatinya)”.

Maksudnya siapa yang telah duduk di situ terlebih dahulu, maka ia menjadi haknya di mana orang lain tidak boleh menghalaunya dari situ.

Khatimah

Sesungguhnya Undang-undang Perlindungan Hak Cipta merupakan salah satu cara penjajahan ekonomi dan peradaban yang telah dikenakan oleh negara-negara kapitalis besar kepada negara-negara di seluruh dunia melalui WTO, setelah negara-negara kapitalis tersebut berhasil menguasai teknologi yakni pengetahuan yang berhubungan dengan industri, produksi barangan dan perkhidmatan. Mereka membuat undang-undang tersebut agar mereka boleh menimbun dan memonopoli pengetahuan tersebut untuk mereka sahaja, dan mencegah negara-negara lain dari mengambil manfaat hakiki dari penemuan tersebut. Ini dilakukan agar negara-negara lain tetap menjadi pasar konsumtif bagi produk-produk mereka dan tunduk di bawah pengaturan mereka. Juga, agar mereka dapat mencuri kekayaan dan sumberdaya alam negara-negara lemah atas nama pelaburan dan globalisasi. Inilah tujuan mereka!

Umat Islam adalah umat yang agung dengan kekuatan kepemimpinan dan fikrahya. Orang-orang kafir telah menyedari kekuatan dan bahaya umat Islam terhadap mereka sekiranya umat Islam kembali kepada ideologi Islam. Oleh kerana itu, mereka memaksakan kepada umat Islam undang-undang sivil mereka seperti Undang-undang Perlindungan Hak Cipta dan yang sejenisnya. Tujuannya adalah untuk mencegah umat Islam dari mendapatkan semula kebijaksanaan intelektual, kemuliaan dan kekuatan serta untuk menjauhkan umat Islam dari hukum-hakam dan ideologi Islam. Oleh yang demikian, kaum Muslimin hendaklah sedar akan kekufuran dan bahaya undang-undang sivil/kufur tersebut terhadap agama mereka dan kehidupan mereka. Dalam kes ini (undang-undang hakcipta) kaum Musliminlah yang dijadikan sasaran mereka. Mereka telah ‘menimbun’ pengetahuan-pengetahuan ilmiah untuk mencegah kaum Muslimin mendapatkan manfaat-manfaatnya agar mereka terus dapat mencengkam kekuasaan mereka atas kaum Muslimin. Semua itu dilakukan agar kaum Muslimin tetap mundur dan terkebelakang dan tidak dapat bangkit dengan landasan Islam yang benar.

Berdasarkan hal ini, kaum Muslimin wajib menolak dan tidak boleh terikat dengan undang-undang sivil tersebut. Ia bukan berasal dari Islam, malah dibuat untuk menimpakan kehancuran demi kehancuran ke atas umat Islam. Kaum Muslimin wajib mengetahui dan memerhatikan setiap kunci dan nafas dalam rangka mengembalikan hukum-hakam Islam agar kaum Muslimin tidak terus terkurung dan tersepit dengan undang-undang kufur yang membelenggu mereka sejak jatuhnya Daulah Khilafah pada tahun 1342H (1924M). Di sinilah pentingnya usaha untuk mewujudkan kembali Negara Islam (Khilafah) agar tradisi keilmuan, keintelektualan, kemuliaan, kekuatan dan kesatuan kaum Muslimin di bawah naungan Kitabullah akan kembali semula dan akan menghancurkan segala kegelapan, kebatilan dan kekufuran yang wujud di dunia umat Islam selama ini. Dan agar mereka mampu membersihkan dunia dari kenistaan dan imperialisme kapitalis untuk menuju keadilan Islam. Allah SWT berfirman,

“Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur’an) dan agama yang benar untuk dimenangkanNya atas segala agama (ideologi dan pemikiran) yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya” [TMQ at-Taubah (9):33].


{ 23 comments.. read them below or add one }

onlajer onlajer 6 July 2012 at 09:12
Er anda boleh salin boleh cetak boleh sebarkan tanpa kebenaran , tetapi jangan lah anda mengaku bahawasanya semua ini anda yang membuatnya.
AnonymousAnonymous 6 July 2012 at 09:13
kdg2 orng nak mudah dan murah... apapun tq but kena tarik nafas 4-5 kali menghabiskan bacaan N3 ni!
Unknown Unknown 6 July 2012 at 09:15
wow.. panjang lebar.. apa2 pun.. thanks bro... ni lebih kurang ceramah pagi di hari yang mulia ni..hehe
Mak Lagenda Mak Lagenda 6 July 2012 at 09:35
wallawei..1 ilmu di pg jemaat ni. Thx bro bg penerangan yg pnjg lebar
nurmisnan nurmisnan 6 July 2012 at 19:30
Zaman sekarang banyak sudah undang2 yang tidak mengikut syariat islam..
Yang haram dihalalkan.. sedih..
jebengotai jebengotai 6 July 2012 at 20:31
mmg berat entri ni..

good info..boleh difikirkan bersama.. :)
suri suri 6 July 2012 at 21:27
sukar nak ungkaokan jaga diri kluga saling beringt pd Pencipta tu lgi baik
suri suri 6 July 2012 at 21:30
klu ada pi pasar2 bias apun risau gak penjual cina ada jual brg2 campur,,kot2 terpegang barg haram mas ajula mkn..basah dan sbgnya huhu...
onlajer onlajer 7 July 2012 at 10:51
yang paling penting kita yakin akan dia
onlajer onlajer 7 July 2012 at 10:52
takpe baca perlahan-lahan
onlajer onlajer 7 July 2012 at 10:57
ceramah di penghulu hari
onlajer onlajer 7 July 2012 at 10:58
itu semua tugusan ulul amri
onlajer onlajer 7 July 2012 at 10:59
rasa tak mengapa jika kita tidak mengetahuinya- untuk kepastian bolehlah diajukan pada ustaz yg dalam bidangnya
CIK TOM CIK TOM 7 July 2012 at 11:37
fuuuh pnjgnya artikel ni..2x bc br la faham main point wlpn xdelah faham sgt..hehe
onlajer onlajer 7 July 2012 at 11:44
aku pun sama , Rasa kena mengaji dekat bidang muamalat al ijarah gamaknya
ProfHariz ProfHariz 8 July 2012 at 23:36
Panjang kemain entri kau. Tetapi ingat dah baca hukum ni tak boleh ambil mudah.,
onlajer onlajer 11 July 2012 at 01:39
betul tu harta milik orang lain yang tidak boleh diambil dari pemiliknya setelah ia sah secara syar’ie menjadi miliknya.
Nazri Nazri 11 July 2012 at 16:23
kadang-kadang terlepas jugak bab ni, terutama dalam movie
yastro yastro 11 July 2012 at 17:02
Sepintas lalu je aku bacanya bro...panjang bebeno...:D
onlajer onlajer 11 July 2012 at 17:16
itu kekadang aku fault juga, huhu
onlajer onlajer 11 July 2012 at 17:17
takpe ada masa boleh baca dengan teliti