LIBERALISME ANAK KANDUNG DEMOKRASI?


Kuliah Pagi Jumaat
Pencerahan minda dari Hizbut Tahrir Malaysia

[SN307] IrshadManji berjaya mengadakan majlis pelancaran bukunya yang terbaru (yang telah diterjemah ke dalam bahasa Melayu) bertajuk “Allah, Kebebasan dan Cinta” di Malaysia. Setelah pihak Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menolak programnya dari diadakan di situ, akhirnya majlis maksiatnya berjaya dibuat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCH). Sebelum ke Malaysia, aktivis feminis yang berasal dari Kanada ini telah pun ditolak keras kehadirannya di Indonesia. Program Manji telah dibatalkan sama ada di tempat terbuka mahupun tertutup termasuklah di beberapa buah Universiti di Indonesia hasil bantahan keras dari umat Islam di Indonesia. IrshadManji, 42, dilahirkan di Uganda dari ibu berketurunan Mesir dan bapa berketurunan India, merupakan ikon pendukung feminis liberal yang mengaku beragama Islam. Di beberapa tempat, tanpa segan silu, dia mengaku yang dirinya adalah seorang lesbian.

Buku yang dilancarkannya itu yang telah pun berada di pasaran kemudiannya diisytihar haram oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas laporan dari Jakim. Di Kuala Lumpur, Jawi telah membuat rampasan buku tersebut di sebuah kedai buku terkenal di kompleks beli-belah The Gardens. Walaupun langkah merampas buku ini patut dipuji, namun, apa yang amat dikesali ialah kegagalan pihak kerajaan menyekat kemasukan Manji dari awal. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri JamilKhirBaharom, dalam nada defensif berkata, pihaknya telah menjalankan pelbagai usaha bagi menyekat ideologi yang jelas bertentangan dengan fitrah manusia itu daripada terus berkembang namun ia tetap disebarkan secara senyap. Kerajaan berdepan kesukaran menyekat penyebaran ideologi seks songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kerana ia dipercayai didalangi individu tertentu di negara ini, ujar JamilKhir. Menurut JamilKhir lagi, pejuang LGBT dari negara asing seperti IrshadManji boleh masuk ke negara ini melalui pelbagai cara dan kerajaan tidak boleh mengambil tindakan semata-mata atas andaian [UM 24/05/12].

Dalam perkembangan yang berkaitan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, secara terbuka menyatakan dukungannya terhadap perkahwinan sesama jenis (gay dan lesbian). Dukungannya itu dinyatakan dalam wawancaranya dengan koresponden stesen televisyen ABC News di Washington DC. “Pada ketika tertentu, saya menyimpulkan bahawa pada pandangan saya, pasangan sesama jenis harus dibolehkan berkahwin,” kata Obama. Sokongan dari Presiden AS ke-44 terhadap perkahwinan sesama jenis itu muncul di tengah-tengah kehangatan isu-isu sosial yang diangkat oleh para calon di dalam kempen pemilihan presiden AS yang sedang berjalan. Kenyataan dalam wawancara dengan ABC News itu sekali gus mengakhiri spekulasi publik selama hampir dua tahun apakah Obama mendukung pernikahan sesama jenis.

Obama di dalam ucapannya menganggap perkahwinan sesama jenis merupakan langkah waras ke arah ‘Amerika yang lebih adil’ yang mendapat tepukan gemuruh dalam satu majlis yang dianjurkan oleh pelakon George Clooney bagi mengutip dana kempen parti Demokrat. Jika di Malaysia, parti pembangkang dikutuk hebat oleh kerajaan kerana menyokong Bersih yang mana pengerusinya, Datuk S. Ambiga adalah seorang penyokong LGBT, nampaknya Perdana Menteri Malaysia juga wajar dikritik hebat oleh rakyat kerana hubungan baiknya dengan Obama selama ini, bukan sekadar kerana dia merupakan ketua pengganas dunia, malah seorang penyokong kepada amalan seks songsang tersebut secara terang-terangan!

IrshadManji Dan Liberalisme

Persoalan yang perlu ditanyakan adalah, siapakah yang telah membantu kemasukan Manji ke Malaysia dan bagaimana kerajaan boleh “terlepas pandang” hingga dia berjaya melancarkan buku fasadnya di sini? Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pihak yang berusaha menjayakan program Manji ini tentunya mempunyai motif dan latar belakang yang sama dengan Manji yakni merupakan kaum liberalis yang cuba membawa tafsiran Islam mengikut hawa nafsu mereka. Kedatangan feminis yang mempromosikan kebebasan berfikir dan bertingkah laku ini menunjukkan semakin kuatnya gempuran fahaman liberalisme di Malaysia, di samping membuktikan kelemahan kerajaan dalam menangani isu LGBT dan liberalisme. Kehadiran manusia jijik ini sesungguhnya tidak lepas dari agenda kafir penjajah yang ingin menyesatkan kaum Muslimin dan meruntuhkan akhlak umat Islam. IrshadManji merupakan ikon Muslim liberal yang diangkat oleh Barat sebagai tokoh reformis Muslim yang berani!

Apa yang jelas, di samping idea dan perilaku seks menyimpang yang dibawanya, dia juga secara langsung mempromosikan pemikiran hak asasi manusia di mana di atas asas inilah (hak asasi manusia) dia ‘men-sahkan’ dan menyebarkan pemikiran dan kelakuannya yang songsang lagi rosak ini. Segala pemikiran dan perbuatan yang diserunya ini merupakan penyesatan yang nyata dan bertentangan dengan ajaran suci Islam. Inilah tujuan kedatangan IrshadManji, baik ke Malaysia mahupun Indonesia iaitu untuk mengembangkan misi liberalisme (kebebasan) dan feminisme di tanah umat Islam, sebagaimana yang Barat serukan ke atas umat Islam selama ini.

Ini semua dilakukan agar liberalisme dan lesbianisme diterima sebagai hal yang biasa di negeri umat Islam, sesuai dengan sistem demokrasi yang diamalkan! Manji (dan Barat) mahu agar liberalisme dan lesbianisme itu difahami sebagai satu hak asasi manusia di mana setiap orang bebas memilih dan menentukan hak atas dirinya sendiri yang sejajar dengan amalan demokrasi sesebuah negara.Apa yang dilakukan Manji ini sebenarnya selaras dengan amanat Convention on the Elimination of All forms of Discrimination against Women (CEDAW) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar menghilangkan semua hal (termasuk penafsiran ajaran agama) yang membezakan antara lelaki dan perempuan.

Sedikit Mengenai Liberalisme

Charles Kurzman, seorang profesor sosiologi agama di Universiti North Carolina memperkenalkan istilah atau gerakan baru di dunia Islam dalam bukunya Islamic Liberalism. Sebenarnya, Kurzman bukanlah orang yang pertama menggunakan istilah itu (Islam liberal), kerana sebelumnya telah muncul Leonard Binder yang cuba menyodorkan fahaman tersebut dalam bukunya, Islamic Liberalism: A Critique of Development Ideologies. Inilah agenda Barat yang sengaja menciptakan bermacam-macam istilah dan terminologi untuk meletakkan dunia Islam dalam pelbagai perangkap. Semua itu dimaksudkan untuk meragukan keyakinan umat terhadap pemikiran Islam dengan permainan istilah yang menyesatkan, atas sebab ketakutan mereka melihat kebangkitan umat melalui ideologi Islam. Di samping liberalisme, mereka memunculkan istilah dan pemikiran nasionalisme, demokrasi, pluralisme, feminisme, hak asasi manusia, kebebasan, globalisasi dan sebagainya dan meletakkan perkataan ‘Islam’ di sisi istilah-istilah tersebut (seperti ‘Islam Liberal’) agar umat Islam terus terjebak di dalamnya!

Liberalisme merupakan suatu falsafah yang muncul di Eropah semasa pergolakan kelas menengah menentang hak-hak istimewa pihak pemerintah, aristokrat dan puak gereja. Liberalisme muncul pada masa renaissance yang menjadi pemicu terjadinya Revolusi Perancis dan Amerika. Pemikiran ini telah masuk ke negara Islam setelah kerendahan berfikir melanda umat, sebelum kejatuhan Daulah Khilafah. Pemikiran-pemikiran Voltaire, Rostow dan Montesquieu telah berlegar di beberapa buah sekolah di dalam Daulah Islam ketika itu. Apa yang menjadi fokus dalam fahaman liberalisme yang berasal dari Barat ini adalah kebebasan individu dalam setiap perkara. Kekuasaan negara juga harus dipisahkan dari campur tangan agama. Dari idea liberalisme-lah, tercetusnya  gagasan-gagasan liberalisasi politik (John Locke), ekonomi (Adam Smith, David Ricardo) dan pemikiran (Jeremy Bentham, John Stuart Mill dan Thomas Paine). Liberalisme agama pula mengajar setiap pemeluknya (setiap individu) sebagai pemegang autoriti muktamad dalam menilai dan menafsir ajaran agama mengikut kehendaknya (berdasarkan akal sendiri) tanpa terikat dengan apa-apa kaedah. Liberalisme membolehkan mereka menerima unsur-unsur asing (dari luar mereka) di mana mereka memiliki kebebasan untuk meyakini atau menolaknya.

Sebelum kemunculan pemikir-pemikir moderat dan liberal mutakhir ini, sebenarnya telah pun wujud satu “lokomotif” liberalisasi pemikiran di dunia Islam yang berusaha mengkompromikan pemikiran-pemikiran Islam dengan Barat. Para tokohnya antara lain adalah Rifa’ah at-Thathawi (Mesir), Khairuddin at-Tunisi (Tunisia), Muhammad Abduhdan Ali Abdul Raziq(Mesir), NurcholishMadjid dan Abdurrahman Wahid (Indonesia), AminaWadud(Amerika Syarikat) dan ramai lagi yang bertebaran di seluruh dunia Islam seperti di Turki, India, Iran, Sudan, Maghribi, Algeria dan juga Malaysia. Golongan liberal kini sering menjadikan tokoh-tokoh ini sebagai idola mereka dan segala pemikiran yang dibawa tokoh ini dianggap sebagai paling autentik manakala pemikiran-pemikiran Islam yang lain dianggap sebagai ortodoks, kuno, jumud, ketinggalan zaman dan pelbagai konotasi negatif lainnya.

Liberalisme Lahir Dari Rahim Demokrasi

Pemikiran liberal bukan hanya tertumpu pada kebebasan seks seperti LGBT sahaja, malah ia jauh lebih luas. Pembahasan-pembahasan umum yang dibawa oleh Islam liberal mencakupi masalah politik-kenegaraan, hak wanita (kesetaraan gender), pluralisme, kebebasan berfikir dan bertingkah laku dan gagasan tentang kemajuan (modenisasi). Pandangan tokoh-tokoh mereka di serata dunia diposisikan sebagai pandangan yang paling kuat, bernas dan sesuai dengan Islam sebagai agama yang fleksibel dan terbuka. Kesemua ini dilakukan di dalam bingkai hak asasi manusia dan juga demokrasi. Justeru, amat mudah untuk difahami bahawa “mazhab” Islam Liberal ini sebenarnya berakar dari idea demokrasi. Pemikiran-pemikiran lain sebagai cabang yang keluar (derivative) darinya dapat dilihat dengan jelas terpusat kepada idea demokrasi yang sangat ‘disucikan’ itu, seperti gagasan pemisahan negara dengan agama, hak-hak wanita dalam kepemimpinan politik dan kekuasaan, kebebasan penafsiran teks-teks Al-Quran dan Hadis, kebebasan berfikir dan berpendapat, toleransi beragama, dialog dan keterbukaan antara agama, pluralisme dan lain-lain.

Pemikiran mengenai hubungan antara negara (pemerintahan) dengan agama (Islam) merupakan persoalan penting yang paling banyak ditolak dan ditentang oleh pendukung Islam Liberal. Hujah mereka antaranya adalah

(i) Negara Islam tidak pernah dikenal dalam sejarah

(ii) Negara adalah kehidupan duniawi yang berdimensi rasional dan kolektif sedangkan agama berdimensi spiritual dan peribadi

(iii) Masalah kenegaraan tidak menjadi bahagian integral dari Islam

(iv) Islam tidak mengenal konsep pemerintahan yang bersifat tetap, contohnya terdapat penggantian kekuasaan yang beragam

(v) Rasulullah hanyalah seorang penyampai risalah, bukannya ketua sebuah institusi politik

(vi) Al-Quran dan Sunnah tidak pernah menyebut, “Dirikanlah Negara Islam!” dan seumpamanya.

Hujah-hujah golongan liberal ini akhirnya membawa kepada penerimaan mereka secara total akan idea demokrasi dalam semua hal ehwal kehidupan termasuk urusan individu, masyarakat dan negara. Tidak sedikit daripada kalangan cerdik pandai, termasuk yang bergelar ‘ulama’ yang mempunyai cara berfikir yang sama dengan golongan liberal ini, yang akhirnya menolak pemerintahan Islam dan penubuhan Negara Islam (Khilafah), sebaliknya terus yakin dan percaya dengan demokrasi.

Demokrasi akhirnya menjadi semacam “agama” baru kepada sesetengah umat Islam sehingga segala perkara “diukur” dengan demokrasi. Walaupun suatu perkara itu jelas bertentangan dengan Islam sekalipun, namun sekiranya tidak bertentangan dengan demokrasi, maka ia dibolehkan. Pendek kata, segala persoalan halal-haram diukur dan berada di tangan demokrasi, bukannya di tangan syarak. Justeru, jika seseorang melanggar perkara yang dibolehkan demokrasi, ia adalah suatu yang tidak boleh diterima dan akan dikutuk bahkan boleh dihukum. Orang kafir contohnya boleh terlibat dengan pemerintahan, kerana ia dibenarkan oleh demokrasi (walaupun ia jelas bertentangan dengan Islam). Berapa banyak parti Islam yang menerima perkara ini seratus peratus kerana yang mereka jadikan “ukuran” dalam hal ini adalah demokrasi, bukannya Islam. Seorang wanita boleh menjadi ketua negara kerana ia tidak bertentangan dengan demokrasi. Begitulah juga dengan prinsip hak asasi manusia dan kebebasan yang diterima umum kerana ia selaras dengan demokrasi (walaupun bertentangan dengan Islam), termasuklah kebebasan melakukan seks (zina) dengan lawan jenis, sesama jenis (gay dan lesbian), kebebasan mentafsirkan nas-nas agama sesuka hati, kebebasan berakidah dan sebagainya. Inilah pemikiran liberal yang dibawa ke dalam Islam.

Semua pemikiran derivative ini sesungguhnya lahir dan sentiasa berlindung di bawah naungan ibunya, “demokrasi”. Inilah apa yang dikehendaki oleh Barat dengan demokrasi yang mereka tancapkan ke negara umat Islam. Tujuannya adalah untuk memalingkan umat dari keterikatannya pada akidah dan hukum-hukum Islam untuk kemudiannya menerima paradigma dan nilai-nilai Barat. Islam Liberal dihadirkan di tengah-tengah umat dengan maksud menterbalikkan kebenaran Islam, menabur keraguan untuk merosakkan keyakinan umat terhadap ajaran Islam dan berusaha untuk menjauhkan kaum Muslimin sejauh-jauhnya dari Islam, bahkan sampai batas tertentu, “mazhab” ini berusaha memurtadkan umat Islam untuk kemudian mendorong mereka agar berpegang dan memeluk keyakinan baru iaitu demokrasi. Sebagaimana disebut oleh Kurzman, “The first trope of liberal Islam holds that the shari’a requires democracy and the second trope holds that the shari’a allows democracy” (ungkapanpertama Islam liberal berpegang bahawa syariat memerlukan demokrasi dan ungkapan kedua berpegang bahawa syariat membenarkan demokrasi).

‘Demokrasi’, sebuah sistem kufur yang berasal dari Barat, sesungguhnya merupakan kata yang memiliki konotasi yang khas. Ia digunakan oleh para pencetusnya untuk merujuk kepada sistem pemerintahan tertentu, yang dibangun berdasarkan “kedaulatan di tangan rakyat”. Di bawah demokrasi, rakyat diberi hak untuk membuat undang-undang dan peraturan sesuka dan semahunya (mengikut akalnya) tanpa memperhatikan pertimbangan agama. Demokrasi memberikan hak kepada orang yang dipilih (wakil rakyat) dalam masalah pemerintahan, baik lelaki mahupun wanita, baik Muslim mahupun non-Muslim, untuk membuat, meminda dan menghapuskan undang-undang. Inilah makna sebenar demokrasi yang difahami apabila sebutan “demokrasi” diungkap oleh manusia. Sesungguhnya dari rahim demokrasi inilah lahirnya kebebasan untuk berakidah, berpendapat, memiliki dan bertingkah laku dan dari rahim demokrasi inilah lahirnya segala pemikiran kufur seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme, feminisme dan pelbagai isme-isme yang lain.

Khatimah

Bagi sesiapa yang berpegang kepada Islam sebagai ideologi, tentunya dapat melihat bahawa kehadiran Manji ke tanah umat Islam bukanlah tanpa agenda. Dia datang ke Indonesia yang penduduk Muslimnya paling ramai di dunia dan kemudian ke Malaysia yang dimomokkan sebagai “negara Islam contoh”, seterusnya memilih sebuah Universiti Islam (UIA) untuk melancarkan bukunya. Sesungguhnya semua ini bukan dilakukan tanpa perancangan dan tidak terlepas dari agenda Barat untuk mempromosikan idea liberalisme, demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan dan feminisme ke dalam tubuh umat Islam. Barat dan orang seperti Manji tahu bahawa, walaupun ada kelompok Islam yang akan membantah kehadirannya, namun pemerintah Muslim sekular yang ada sekarang akan pasti dapat merealisasikan objektif mereka atas nama demokrasi dan hak asasi manusia! Malah, mereka tahu bahawa pemerintah yang ada juga sebenarnya tidak pernah lari dari pemikiran liberal yang lahir dari demokrasi. Begitulah keadaan sebenar pemerintah dan keadaan sebenar sesetengah kelompok Islam sekarang, pada satu sisi mereka kononnya menolak liberalisme, namun pada sisi yang lain mereka menerima demokrasi yang merupakan ibu kandung kepada liberalisme! Menolak liberalisme tetapi mengambil demokrasi adalah ibarat menolak Lord Reid dari bumi Malaysia tetapi mengambil kesemua ajaran Lord Reid yang ada dalam Perlembagaan! Na’uzubillah min zalik.

LIBERALISME ANAK KANDUNG DEMOKRASI?

4 comments.. read them below or add one

CIK TOM CIK TOM 6 June 2012 at 19:48
erk xtau nak komen pe..huhu
onlajer onlajer 6 June 2012 at 19:59
yang ini untuk bacaan dari hizbut tahrir